MELAKA – Hasrat seorang remaja lelaki makan bersama sepupunya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Umbai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Ibnu Hakimi Abdul Rahman, 18, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sepupunya berusia 17 tahun yang membonceng terselamat, namun mengalami luka di tangan serta kaki dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dalam perjalanan dari arah Umbai ke Serkam.
“Setiba di lokasi mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta tetapi gagal mengelak lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang elektrik.
“Dalam kejadian turut terlibat dalam nahas adalah sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 31 tahun dari arah Serkam membelok ke kanan menuju ke Jalan Muhibah,” katanya kepada pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE