PETALING JAYA – Susulan kontroversi tiga penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin yang membuat konten menyentuh sensitiviti agama, pihak Astro Audio bertindak merehatkan mereka daripada terus bersiaran.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihak Astro, mereka memohon maaf dan memandang serius tentang isu yang hangat diperkatakan itu.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak yang terlibat.
“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak sementara kami menjalankan siasatan,” tulis mereka dalam kenyataan itu.
Tambah Astro lagi, mereka sentiasa komited terhadap kepercayaan pendengar serta akan memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan pendengar kami.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” tulis mereka.
Terdahulu pagi tadi Nabil, Azad dan Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mereka membuat video konten mempersendakan ritual keagamaan sambutan Thaipusam.
Susulan itu, Malaysian Indian Congress menuntut permohonan maaf daripada Era FM dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap stesen radio nombor satu negara itu. –KOSMO! ONLINE