KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengecam tindakan penyampai radio sebuah stesen tempatan yang didakwa mempersenda agama Hindu baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan yang bersifat menyentuh sensitiviti kaum di media masaa dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia.
“Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
“Sebagai sebuah negara yang majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan salah seorang penyampai radio terkenal dilihat menari dengan nyanyian ‘vel vel’, seolah-olah mengejek tarian Kavadi Hindu itu. – KOSMO! ONLINE