PETALING JAYA – Seorang lelaki tidak menduga bantal busuk yang disangka hilang sejak lima tahun lalu rupanya disimpan oleh rakan baiknya untuk dijadikan hadiah ulang tahunnya ke-34 baru-baru ini.
Tambi Mamat atau nama sebenar Mimee berkata, bantal busuk yang dimiliki dari tahun 1996 hingga 2019 itu hilang pada 2020 sewaktu berpindah rumah.
Menerusi sebuah hantaran di TikTok, Tambi Mamat menunjukkan bantal busuknya yang disorok oleh rakan baiknya dijadikan hadiah ulang tahun.
“Saya terkejut. Saya ingatkan sudah buang dah saya salahkan mereka, rupanya masih disimpan sebab nak bagi hadiah sekarang tapi ianya unik dan berbeza.
“Saya memang hantu bantal busuk,” tambah Mimee.
Bantal busuk yang dijadikan hadiah tersebut diletakkan rapi dalam bekas kaca bersama beberapa keping gambar Mimee sewaktu kecil dan tahun bantal busuk itu disimpan.
Hadiah tersebut membuktikan kasih sayang rakan-rakan Mimee terhadapnya. – KOSMO! ONLINE