ALOR GAJAH – Sebuah syarikat logistik yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan tujuh individu pada 23 Disember tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Pengurus Operasi, Ng Chee Keong, 36, yang mewakili Yinson Transport (M) Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa telah melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg) iaitu lebihan 16,260 kg daripada had dibenarkan 52,000 kg.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Alor Gajah pada 23 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE