SEBERANG PERAI – Sebuah bangunan tidak berpenghuni di Jalan Kulim, Kampung Baru, Bukit Mertajam di sini terlibat kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu membabitkan tingkat empat bangunan Wisma Muniandy Pillai yang dibiarkan kosong.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kebakaran hanya membabitkan ruang bangunan di tingkat paling atas.
“Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran bangunan empat tingkat tidak berpenghuni melibatkan struktur di tingkat empat berkeluasan kira-kira 2,400 kaki persegi.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 90 peratus yang termasuk struktur bumbung,” katanya kepada pemberita hari ini. – K! ONLINE