fbpx

2 peratus caruman KWSP pekerja asing, itu paling minima – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika bercakap pada sesi Dewan Rakyat, hari ini. FOTO JAPEN

KUALA LUMPUR – Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing adalah paling minima ditetapkan kerajaan agar tidak membebankan majikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KWSP bersama Kementerian Kewangan telah pun mengadakan sesi libat urus bersama semua syarikat-syarikat besar dan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana bagi membincangkan perkara tersebut.

Anwar berkata, pelaksanaan caruman buat pekerja asing itu juga berikutan kerajaan terikat dengan piawaian antarabangsa iaitu di bawah protokol Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO).

“Sebab itu kita lihat, hampir 70 negara menggunakan kaedah caruman walaupun kebanyakan negara meletakkan caruman yang lebih tinggi. Jadi kita gunakan yang paling minima iaitu dua peratus kerana kita anggap ia tidak akan membebankan,” katanya pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Anwar, tetapan caruman buat pekerja asing ini juga memberi peluang kepada kerajaan untuk secara keseluruhannya mendaftar jumlah pekerja asing di negara.

“Keduanya, caruman ini juga membolehkan mereka (pekerja asing) menggunakan sistem institusi kewangan termasuk KWSP dan perbankan dan ketiga supaya mereka tahu simpanan itu tetap dan mereka akan didorong untuk mengeluarkannya, apabila tamat tempoh khidmat mereka dan permit untuk mereka bekerja di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang meminta pencerahan tentang caruman KWSP untuk bukan warganegara.

Sementara itu, Anwar berkata, isu caruman KWSP kepada warga asing juga tidak akan mengurangkan perhatian kepada rakyat tempatan berikutan wujudnya inisiatif seperti caruman sukarela yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1.2 juta ahli yang bekerja sendiri telah membuat caruman sekali gus menerima manfaat yang ada.

“Kita juga ada skim i-Saraan serta i-Suri bagi menjaga kepentingan sektor ‘informal’ terutamanya isteri-isteri yang menjadi suri rumah tangga. Insentif kerajaan telah mencecah RM4.16 juta bagi pelaksanaan skim-skim ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI