SETIU – Tindakan menarik balik lesen perniagaan serta-merta akan diambil terhadap mana-mana peniaga bazar Ramadan seluruh Terengganu yang gagal mematuhi syarat kebersihan ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan tegas itu bertujuan bagi memastikan elemen kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dititikberatkan di bazar Ramadan.
“Kita tidak mahu berlaku kes keracunan makanan di bazar Ramadan apatah lagi penipuan dalam jual beli dan isu keselamatan pada tahun ini.
“Tindakan tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan akan diambil sekiranya peniaga dan penganjur melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lain,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bazar Ramadan Sungai Tarom di sini, semalam.
Wan Sukairi berkata, pemantuan berkala akan dilakukan selain menempatkan pegawai bertugas di setiap 57 bazar Ramadan di negeri ini. – KOSMO! ONLINE