PETALING JAYA – Memasuki tahun kelima, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (Imran).
Program ini akan berlangsung di 15 buah universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan sekolah terpilih di seluruh negara bermula esok (5 Mac) hingga 20 Mac.
Perasmian program tersebut berlangsung di Menara PTPTN oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Zainah Rujihan, pengurusan PTPTN, dan peara pelajar PSA.
Norliza berkata, Program Imran bukan sekadar membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan, tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama yang erat.
Ujar beliau, melalui program ini, warga PTPTN, para pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan akan bergotong-royong untuk menyediakan bubur lambuk.
“Selain itu semua pihak yang terlibat juga akan bergotong-royong menyediakan bubur manis atau makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.
“Dianggarkan lebih 10,000 masyarakat serta pelajar akan menerima juadah berbuka puasa yang akan diagihkan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norliza, sumbangan PTPTN ini juga diharap dapat sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini.
Program Imran merupakan program signature di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang diadakan sejak tahun 2021.
Program ini bertujuan mengeratkan ukhwah silaturrahim serta hubungan baik antara PTPTN dan institusi pendidikan, memupuk nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat. – KOSMO! ONLINE