TANAH MERAH – Hajat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan untuk pulang ke negara asalnya melalui Thailand tidak kesampaian apabila dicekup anggota tentera semasa tiba di kawasan pangkalan haram di Sungai Golok dekat sini awal pagi tadi.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.20 pagi selepas ditinggalkan oleh tekong darat yang dipercayai menguruskan perjalanannya untuk masuk ke Thailand melalui pangkalan haram.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera mengesan dua lelaki menaiki sebuah motosikal ke arah pengkalan haram di sempadan Sungai Golok di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri semasa serbuan dijalankan, namun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan.
“Seorang lagi suspek sempat melarikan diri ke Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok. Siasatan mendapati, suspek yang ditahan itu merupakan lelaki warga Pakistan dan memaklumkan bahawa dia telah bekerja di Pulau Pinang sejak tahun lalu.
“Bagaimanapun, tiada sebarang bukti kemasukan lelaki itu ke negara ini secara sah direkodkan di dalam pasport antarabangsa miliknya,” katanya.
Menurutnya, suspek turut mendakwa perjalanannya untuk meninggalkan negara ini melalui Thailand telah diuruskan oleh lelaki yang telah melarikan diri.
Katanya, lelaki yang berjaya lolos itu dipercayai bertindak sebagai ejen yang mengaturkan proses kemasukan dan penghantaran PATI ke Malaysia dan Thailand.
“Pemeriksaan terhadap lelaki warga Pakistan itu menjumpai visa pelancong ke Thailand yang sah sehingga 7 Mei ini, telefon bimbit, beberapa barangan peribadi dan sebuah motosikal dipercayai milik suspel yang telah berjaya meloloskan diri.
“Jumlah keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,959,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di single untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE