CYBERJAYA – Tenchijin, Inc, sebuah syarikat yang berpengalaman dalam bidang penyelesaian mengesan kebocoran dalam paip air bawah tanah melalui teknologi terbaharunya dari Jepun, telah memilih Malaysia sebagai hab dan pangkalan serantau untuk mengembangkan pengoperasiannya dalam industri berkenaan di Asia.
Bagi merealisasikan inisiatif tersebut, syarikat telah bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk berkongsi kepakarannya dalam membantu bidang penyelidikan pengimejan data dan membangun teknologi ini untuk diguna pakai di negara ini.
Pengarah Perkongsian Pembangunan Perniagaan Global, Yohei Nisihiyama berkata, pihaknya telah membuka pejabat terbaharunya di sini untuk melaksanakan pelbagai kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan bentuk muka bumi, jenis tanah dan sistem paip yang digunakan serta pelbagai lagi.
Susulan daripada kerjasama tersebut, Tenchijin telah memperkenalkan teknologi pemetaan berasaskan awan (cloud-based mapping service) iaitu Tenchijin Compass KnoWaterleak untuk mengesan kebocoran paip bawah tanah.
“Daripada teknologi ini, kami akan mendapatkan data dan ia akan diproses bagi melaksana sistem teknologi yang digunakan,” katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Tenchijin dengan USM di pejabat Leave A Nest di sini baru-baru ini.
Tenchijin Compass KnoWaterletak adalah perkhidmatan pemetaan berasaskan awan yang memanfaatkan data satelit dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong utiliti air dalam meningkatkan kecekapan proses pengesanan kebocoran.
Ia menggabungkan data daripada satelit, data terbuka dan lejar bekalan air yang didigitalkan serta peta saluran paip untuk dianalisis sekali gus dapat menentukan kawasan yang mempunyai risiko kebocoran tinggi.
Melalui perkhidmatan tersebut, pengguna boleh menyemak data dengan cepat, menyokong pengesanan kebocoran pantas dan perancangan pembaikan.
Selain itu, Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM, Profesor Madya Ir. Dr. Cheah Chee Ban menerangkan, usaha sama ini dijangka dapat membantu mengurangkan kos penyelenggaraan saluran paip air dan juga mengekang masalah kebocoran air sehingga memberi kesan negatif kepada penduduk.
Lebih penting, permasalahan ini dapat diatasi dengan segera dengan menggunakan teknologi tinggi sekali gus ia dapat memberi penjimatan kos pihak berkuasa tempatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE