BURIRAM, Thailand – Juara perlumbaan sulung MotoGP musim ini, Marc Marquez memberi amaran bahawa adiknya, Alex Marquez yang mewakili pasukan Gresini Racing mampu menjadi pencabar utamanya musim ini.
Marquez memulakan musim 2025 dengan sempurna apabila mencipta kemenangan berganda menguasai sesi kelayakan, perlumbaan pecut, dan perlumbaan utama pada Grand Prix Thailand di Litar Antarabangsa Buriram kelmarin.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, Marquez memberi amaran bahawa prestasi Alex yang semakin meningkat dan tidak boleh dipandang remeh.
“Percayalah, Alex akan menang perlumbaan tahun ini. Dia berlumba dengan sangat baik dan memberi saingan sengit sepanjang hujung minggu ini,” kata Marquez.
Ketika ditanya mengenai tindakannya membenarkan Alex memintasnya, Marquez menjelaskan dia berdepan masalah tekanan angin pada tayar.
“Perlumbaan yang sangat mencabar kerana pada awalnya saya berasa selesa dan sudah membuka jurang dengan pelumba lain. Tetapi, kemudian saya sedar tekanan tayar depan tidak mencukupi.
“Jadi, saya terpaksa berada di belakang pelumba lain untuk menaikkan tekanan tersebut,” ujar Marquez.
Menurut peraturan MotoGP, setiap pelumba mesti mengekalkan tekanan minimum tayar hadapan pada kadar 1.8 bar sekurang-kurangnya 60% daripada keseluruhan perlumbaan. Jika gagal, mereka akan dikenakan penalti masa 16 saat. – AGENSI