KEMARAU kejuaraan dalam acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton All England dijangka berakhir menjelang edisi kali ini yang dijadualkan membuka gelanggang bermula 11 hingga 16 Mac nanti.
Bekas pemain beregu emas tanah air, Tan Boon Heong menyuarakan keyakinan selepas enam gandingan negara layak beraksi pada saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu yang merupakan kejohanan badminton tertua di dunia.
Diketuai beregu No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Boon Heong berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia kembali membawa pulang gelaran All England dalam acara beregu lelaki.
“Kali ini kita ada enam beregu (lelaki), jadi peluang (menang) lebih tinggi. Saya ucapkan selamat maju jaya buat mereka kerana saingan sangat terbuka dalam acara beregu lelaki walaupun ada pemain kita kurang konsisten.
“Sudah tentu saya mengharapkan mereka untuk membawa pulang pingat (juara) kerana sudah terlalu lama kita tidak menang sejak 2007. Nasihat saya supaya buat yang terbaik dan berikan cabaran kepada beregu-beregu lain,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi All England dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Koo Kien Keat dan Boon Heong pada 2007 yang menewaskan Cai Yun-Fu Hai Feng dari China.
Ketika ramai yang meletakkan harapan terhadap Sze Fei-Izzuddin selaku beregu lelaki No. 1 negara, namun Boon Heong turut tidak menafikan peluang dimiliki pasangan negara yang lain untuk menjuarai All England.
“Kamu semua fikir DinFei yang boleh menamatkan kemarau kejuaraan? Mana tahu mungkin pemain-pemain lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau Aaron-Wooi Yik kerana kita perlu tengok undian dahulu nanti,” ujarnya.
Selain Sze Fei-Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik, kem beregu lelaki negara akan turut dibarisi Wei Chong-Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.