fbpx

EFE 2025 sasar jualan RM3.5 bilion sepanjang 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung melawat reruai yang disediakan sempena EFE 2025 di KLCC, hari ini. - Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pameran Perabot Eksport Malaysia (EFE) 2025 kembali untuk edisi ke-18, menampilkan lebih 260 pempamer dari seluruh dunia dan dijangka menarik lebih 13,000 pengunjung.

Diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga 5 Mac 2025, acara ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu pameran perabot antarabangsa paling berprestij di rantau ASEAN.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan sasaran jualan sebanyak RM3.5 bilion bagi EFE 2025, pameran ini dijangka memberikan impak berganda.

“Selain menyumbang kepada pertumbuhan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, ia juga memperkukuh keyakinan pembeli terhadap jenama EFE sebagai penyedia perabot berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin pada Majlis Perasmian EFE 2025 di sini, hari ini.

Menurut Johari, salah satu inisiatif utama yang diperkenalkan oleh EFE adalah Anugerah MFC (Malaysian Furniture Creativity Awards) yang menyediakan platform bagi pereka tempatan untuk menonjolkan bakat mereka dalam reka bentuk perabot.

“Langkah ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti tetapi juga membantu pemain industri memperkenalkan produk inovatif ke pasaran global. Kejayaan inisiatif ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam Original Design Manufacturing (ODM) dan Original Brand Manufacturing (OBM).

“Selain itu, konsep ‘Made in Malaysia’ yang telah mengharumkan nama negara kini diharapkan dapat berkembang menjadi ‘Made & Designed in Malaysia’. Dengan usaha ini, produk tempatan bukan sahaja dikenali kerana kualiti pembuatan, tetapi juga keunikan reka bentuk yang dihasilkan oleh pereka Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI