PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal optimis memburu bekalan selesa menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu kelab utama Thailand, Buriram United pada pusingan 16 terbaik di Stadium Chang Arena malam ini.
Namun, pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio memberi amaran kepada pasukannya untuk berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan wakil dari negara Gajah Perang yang memiliki ramai pemain berkualiti seperti Guilherme Bissoli, Suphanat Muenta dan Dion Cools.
“Buriram adalah pasukan yang berkualiti, tetapi kami mempunyai taktikal ampuh ketika bermain di gelanggang lawan. Apa yang penting, pasukan kena kekal kompak di benteng pertahanan dan bijak mengawal tempo sepanjang perlawanan.
“Selain itu, saya juga tidak mahu kita terlalu fokus kepada (pemain) lawan kerana lebih baik tumpukan kepada persiapan pasukan sendiri. Berbekalkan disiplin sepasukan selain strategi yang telah dirancang dan kualiti pemain, saya yakin JDT mampu mencipta keputusan positif di Thailand,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua JDT bertemu dengan Buriram pada saingan ACLE musim ini selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada pusingan liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Disember lepas.
Mengulas lanjut, Bidoglio juga percaya pasukan hadir dengan motivasi terbaik selepas sah bergelar juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.
“Kami bertandang ke tempat lawan dengan motivasi tinggi selepas bergelar juara Liga Super musim ini. Persiapan rapi juga telah dibuat, komunikasi dengan pemain diperkukuh supaya kesemuanya jelas dengan taktikal yang dirancang,” katanya.
JDT dijangka menyenaraikan kesebelasan terbaik dengan kehadiran empat pemain import baharu seperti bekas pemain AC Milan, Samu Castillejo, Jonathan Viera (bekas pemain Villarreal), Alvaro Gonzalez (bekas pemain Al Nassr) dan Roque Mesa (bekas pemain Swansea City).