fbpx

Malaysia negara ke-7 paling mesra pesara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faktor mampu milik yang ditawarkan Malaysia menjadi tarikan utama kepada pesara. - AFP

HANOI – Malaysia dan Thailand tersenarai dalam 10 lokasi terbaik untuk persaraan pada 2025, lapor laman berita VNExpress semalam.

Laporan dikeluarkan majalah Ireland, International Living itu menyebut bahawa Malaysia berada di tempat ketujuh, manakala Thailand di kedudukan ke-10 Indeks Persaraan Global Tahunan 2025.

Senarai  itu diterbitkan berdasarkan penilaian dari sudut perumahan, visa dan manfaat, kos sara hidup, penjagaan kesihatan, iklim, pembangunan, tadbir urus dan penilaian berkaitan yang lain.

Menurut laporan itu, faktor mampu milik ditawarkan Malaysia menjadi tarikan utama kepada golongan ekspatriat. Ia membolehkan pesara menikmati taraf hidup tinggi tanpa berbelanja secara berlebihan.

Di Kuala Lumpur, pangsapuri satu bilik biasanya disewakan pada  harga antara AS$300 (RM1,300) hingga AS$500 (RM2,200) sebulan, dengan kos utiliti sekitar AS$40 (RM180) hingga AS$60 (RM270).

Kos makan di luar juga murah, dengan makanan tempatan boleh didapati pada harga serendah AS$2 (RM9) hingga AS$3 (RM13).

Bagi penginapan jangka panjang, Malaysia menawarkan pilihan visa yang boleh disesuaikan untuk pesara dan golongan nomad digital.

Di Bangkok, pesara boleh menyewa pangsapuri studio dengan harga sekitar AS$600 (RM2,700) sebulan, membelanjakan kira-kira AS$15 (RM67) sehari untuk menjamu selera dan bergerak di bandar raya itu dengan bayaran kurang AS$100 (RM446) sebulan.

Thailand juga mempunyai salah satu polisi visa paling mesra pesara di dunia dengan menawarkan penginapan sehingga 10 tahun untuk warga asing yang layak.

Sementara itu, Panama disenaraikan sebagai destinasi persaraan terbaik berdasarkan indeks serupa, diikuti oleh Portugal dan Costa Rica. 

Negara lain dalam senarai tersebut termasuk Perancis, Mexico, Greece dan Itali. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI