fbpx

Anggota polis terima rasuah RM500 didenda RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Suffian (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM500.

ALOR SETAR – Seorang anggota polis didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menerima rasuah RM500, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Suffian Kamis, 38, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Hakim N. Priscilla turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan tersebut, Mohd. Suffian yang ketika itu merupakan anggota polis berpangkat koperal sokongan polis di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini menerima RM500 daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan berkenaan dilakukan di hadapan Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Kedah, di sini pada 6 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima wang RM500 itu tanpa balasan daripada lelaki berusia 39 tahun yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Berbahaya 1952.

Terdahulu ketika prosiding tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan dan tidak dipenjarakan kerana mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja serta empat anak masih bersekolah.

Mohd. Zulfadli bagaimanapun meminta hukuman setimpal memandangkan ia melibatkan penjawat awam yang diberikan kepercayaan untuk memikul tangungjawabnya. Tertuduh membayar wang denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI