BERSEMPENA Ramadan dan Syawal ini, TV AlHijrah terus komited menyajikan program-program berunsur islamik berkualiti yang mampu membimbing masyarakat dalam menelusuri dua bulan terpenting Muslim itu.
Antara program yang bakal ditayangkan termasuklah Peristiwa Wanita Akhir Zaman yang membincangkan cabaran dan peristiwa melibatkan wanita dengan pendekatan interaktif.
Sementara itu, Tadarus On The Go, sebuah program tadarus al-Quran setiap malam yang membolehkan penonton berinteraksi secara langsung dengan qari pilihan.
Tidak dilupakan taruhan terbesar stesen televisyen islamik berkenaan adalah Jalan Taubat iaitu program muhasabah yang mengetengahkan perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah.
Dengan tema Merindui Taubat Hamba-Nya bagi Ramadan dan Istiqamah Cahaya Ketakwaan (Syawal), TV AlHijrah terus komited memberi yang terbaik bagi kalendar terpenting Muslim sedunia itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan stesen televisyen berkenaan merupakan medan dakwah yang berperanan penting dalam memperkukuh kefahaman Islam di Malaysia.
“TV AlHijrah bukan sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi juga sebagai sebuah universiti mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu islamik serta menyiarkan berita-berita hal ehwal semasa dalam dan luar negara dengan tepat dan sahih,” katanya.
Statistik
Seiring dengan semangat tersebut, beliau menegaskan bahawa TV AlHijrah memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kefahaman Islam melalui pendekatan media yang lebih kreatif dan moden.
“Melalui penyiaran Islam yang progresif dan interaktif, TV AlHijrah berupaya memastikan Islam terus mekar dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. Kita mahu penyampaian dakwah ini bukan sahaja relevan dengan perkembangan teknologi, tetapi juga mampu menyentuh hati dan jiwa penonton.
“Dalam realiti semasa ledakan media sosial termasuk kecerdasan buatan (AI), TV AlHijrah perlu melipatgandakan usaha untuk menghasilkan produk yang benar-benar mampu memikat rakyat agar terus kekal setia menonton TV Al-Hijrah.
“Hal ini kerana rakyat yakin kandungan penyiaran yang ditawarkan benar-benar ilmiah, menambah ilmu pengetahuan serta sahih. Ini adalah kekuatan yang mesti diperteguhkan oleh TV AlHijrah,” tambahnya.
Mohd. Naim turut mengiktiraf pencapaian TV AlHijrah Ramadan lalu yang membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap kandungan Islamik berkualiti.
“Statistik menunjukkan jumlah tontonan dalam platform AlHijrah Plus meningkat 183 peratus pada Ramadan 2024 berbanding 2023. Jumlah tontonan dalam platform sama meningkat 16 peratus pada Ramadan 2024 berbanding sebelum Ramadan,” katanya.
Jalan Taubat
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, program yang menjadi fokus utama stesen televisyen tersebut Ramadan ini adalah Jalan Taubat.
Ditayangkan setiap hari, program bersesuaian dengan tema Ramadan tahun ini, Merindui Taubat Hamba-Nya.
“Antara pengisian Jalan Taubat adalah bagaimana nak bertaubat dari mata, telinga, tangan, hati, kaki.
“Jahat macam mana sekali pun, pintu taubat sentiasa terbuka dan baik macam mana sekali pun seseorang itu, kita mesti kena minta taubat. Hari-hari ada sahaja dosa-dosa yang singgah sama ada dalam sedar atau sebaliknya. Itu antara mesej Jalan Taubat,” jelas Namanzee.
Selain itu, TV AlHijrah turut menyajikan pelbagai program khas lain seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, dan Khatam Ramadan 1446H untuk menghidupkan roh Ramadan dan Syawal dalam kalangan penonton.