KINABATANGAN – Sebanyak RM13 bilion diperlukan kerajaan negeri bagi memperbaiki kemudahan bekalan air bersih di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, masalah air bersih di Sabah amat kritikal ekoran 23 loji air di negeri berkenaan dan perlu dibaikpulih serta dipindahkan.
Katanya, muka sauk rawatan air juga perlu dipindahkan kerana keadaan sungai yang ada ketika ini sudah tercemar akibat penebangan pokok dan aktiviti manusia yang tidak terkawal.
“Masa dibina dahulu sungai-sungai ini masih elok namun selepas puluhan tahun, pencemaran sungai telah berlaku.
“Hampir 23 buah sungai yang mempunyai loji rawatan air di Sabah berlaku pencemaran,”katanya selepas mengadakan lawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Batu Putih Kinabatangan petang semalam.
Dalam pada itu, Bung Moktar sempena lawatan berkenaan memaklumkan saluran paip air bersih dari LRA Batu Putih Kinabatangan ke Paris sejauh 37 kilometer mengalami kebocoran.
Beliau memaklumkan, pihaknya sudah meminta pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk mencari peruntukan bagi membaikpulih semua paip yang mengalami kebocoran kritikal.
“Kos keseluruhan baikpulih paip bocor memerlukan RM10 juta tetapi baikpulih kebocoran yang teruk sudah boleh dilaksanakan sekiranya ada peruntukan RM1 juta atau RM2 juta.
“Selepas itu, barulah kita akan sambung kerja baikpulih paip bocor yang lain. 45 peratus masih lagi menggunakan paip lama di negeri ini yang dibina sejak zaman British,”ujarnya.-K! ONLINE