MANCHESTER – Bintang Manchester United, Bruno Fernandes muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan 3-2 ke atas Liverpool menerusi sepakan percuma menarik pada pusingan keempat Piala FA di Stadium Old Trafford awal pagi semalam.
Fernandes, 26, mendedahkan, dia berlatih selama berjam-jam mengambil sepakan percuma selepas tamat sesi latihan sehingga kadang-kadang pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer terpaksa mengheretnya keluar dari kawasan padang.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya melakukan latihan sepakan percuma walaupun ada beberapa kali beliau (Solskjaer) terpaksa mengarahkan saya berhenti berlatih.
“Saya banyak belajar daripada pemain-pemain yang lebih pakar seperti Juan (Mata) dan kadang-kadang Alex (Telles), Fred dan Rashy (Marcus Rashford) yang biasa mengambil sepakan percuma jarak jauh.
“Saya gembira kerana sepakan percuma ini berhasil menjaringkan gol. Kami bermain dengan sangat baik dengan mencipta banyak peluang, jadi saya menganggap kami layak meraih kemenangan ini,” katanya.
Pemain tengah Portugal itu juga berjaya melakukan satu sepakan lencong menarik ke sebelah kanan gawang Liverpool menewaskan penjaga gol, Alisson Becker pada minit ke-78 sekali gus menjadi jaringan kemenangan The Red Devils pada aksi tersebut.
Fernandes telah membuktikan keputusan United membelinya dengan yuran perpindahan bernilai £47 juta (RM260.9 juta) daripada Sporting Lisbon pada Januari tahun lalu merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi.
Sebagai rekod, selain Fernandes, Mason Greenwood dan Marcus Rashford turut meledak gol buat United pada perlawanan itu dan United dijadualkan bertemu West Ham United selepas ini pada pusingan kelima di Old Trafford awal bulan depan. – AGENSI