ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan MERS999 berhubung satu kejadian mengamuk di sebuah rumah kampung di lokasi tersebut kira-kira pukul 7.48 pagi semalam.
“Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima. Sebaik tiba di lokasi, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk seperti dilaporkan.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh,” katanya di sini malam tadi.
Katanya, hasil siasatan awal berdasarkan temu bual ke atas saksi iaitu anak kepada suspek berusia 14 tahun yang tinggal di rumah sama memberitahu bahawa kejadian berlaku antara pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi tadi.
“Dia terdengar pertengkaran berlaku antara bapanya iaitu suspek dengan si mati iaitu nenek kepada saksi. Mendengar jeritan neneknya meminta tolong, dia terus keluar dari bilik dan melarikan diri keluar dari rumah untuk meminta bantuan jiran.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku, namun telah diancam oleh suspek menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Menurutnya, sebaik polis tiba, suspek telah berjaya ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut menemui ibu suspek yang berusia 68 tahun sudah meninggal dunia dalam keadaan terbakar.
“Semakan awal mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental. Mayat si mati kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.
“Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE