PETALING JAYA – Uzbekistan Airways bercadang untuk menambah dua penerbangan seminggu dari Tashkent (Uzbekistan) ke Kuala Lumpur kepada empat penerbangan ekoran pertambahan jumlah pelancong ke negara tersebut.
Pengurus Besar Uzbekistan Airways, Otabek Akhmedov berkata, tahun lalu sebanyak 10,000 pelancong dari Malaysia melancong ke negara berkenaan dan 80 peratus daripada jumlah tersebut telah menggunakan penerbangan syarikat tersebut.
Ini juga susulan daripada lawatan rasmi Presiden Republik itu Shavkat Mirziyoyev pada awal bulan lalu sehingga mendorong kepada pertambahan jumlah permintaan terhadap perkhidmatan syarikat itu bertambah.
“Kami juga turut mempertingkatkan kerjasama dengan Malaysia Airlines dalam usaha merancakkan industri pelancongan di dua buah negara.
“Selain itu, ia juga bukan sekadar membawa pelancong melawat Uzbekistan tetapi juga sebagai hab penerbangan bagi Timur Tengah yang turut membawa pelancong dari negara seperti Eropah, Rusia, India, Turkeye, Korea, Jepun dan Kazakhstan,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Selain itu, bagi memudahkan urusan penjualan tiket, Uzbekistan Airways turut melantik ATN Travel And Tours sebagai ejen rasmi mereka bagi menjaga kebajikan pelancong serta memudahkan urusan pelanggan bagi mendapatkan tiket ke negara berkenaan. -KOSMO! ONLINE