HAVANA – Penduduk sebuah kawasan kejiranan di bandar Havana, Cuba digemparkan dengan kemunculan pokok pisang yang tumbuh secara tiba-tiba di jalan berlubang, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Lubang besar itu muncul di kawasan kejiranan El Cerro selepas saluran paip air pecah pada tiga tahun lalu.
Meskipun saluran itu dibaiki sepenuhnya, jalan yang dibiarkan berlubang menyebabkan pokok pisang tumbuh sekali gus menjadi kebun kecil.
Seorang penduduk tempatan berkata: “Saluran paip itu dibaiki selepas tiga tahun tetapi pihak berkuasa tidak menurap jalan yang berlubang.
“Kami mahu jalan itu diturap, tetapi terdapat pokok pisang berbuah di dalam lubang tersebut.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk memakan pisang daripada pokok tersebut kerana harga makanan sangat mahal,” katanya.
Seorang lelaki bernama Jose Antonio Fleites dan isterinya, Carmen Rosa Guzman berkata, mereka bersyukur kerana mempunyai kebun pisang kecil di hadapan rumah.
Tambah pasangan itu, mereka juga akan menyiram tanaman tersebut sebanyak tiga kali sehari.
“Kami bersyukur kerana dapat makan pisang secara secara percuma. Tiada siapa yang tahu bagaimana pohon itu tumbuh,” tambah pasangan tersebut. – AGENSI