PETALING JAYA – Syarikat peneraju teknologi antarabangsa, Siemens Malaysia telah melancarkan Akademi Latihan Industri Digital Siemens melalui kerjasama strategiknya dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan SG TVET Group.
Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group, Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, ini adalah langkah penting bagi pihaknya untuk memperkasakan tenaga kerja serta membangunkan ekosistem pendigitalisasi melalui program latihan bertaraf antarabangsa yang sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).
Menurut beliau, kerjasama itu turut mencerminkan komitmen Siemens Malaysia dalam melahirkan modal insan tempatan yang memiliki kemahiran relevan, selari dengan permintaan pasaran kerja dalam era industri moden yang semakin berkembang pesat.
“Program ini memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET dengan menawarkan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf secara global, menjadikan mereka lebih kompetitif dalam pasaran kerja, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Dengan pelancaran Akademi Siemens ini, Malaysia kini berada di landasan yang lebih kukuh untuk melahirkan tenaga kerja bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga berdaya saing di peringkat global.
“Pada masa yang sama, ia menandakan era baharu dalam pendidikan TVET yang lebih maju, mampan dan sejajar dengan perkembangan teknologi global,” katanya pada majlis perasmian Akademi Latihan Industri Digital Siemens di Institut Latihan Perindustrian Perai (ILP) baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sri Ganes yang juga Presiden Yayasan Mahir Malaysia menerangkan, Akademi Latihan Industri Digital Siemens itu menawarkan program pensijilan berkembar daripada Siemens dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sekali gus memberikan kelebihan kepada graduan TVET dalam pasaran kerja.
Menurutnya, dengan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf industri, graduan dijangka lebih berdaya saing dan mendapat pengiktirafan yang lebih luas.
Dalam pada itu, majlis yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara SG TVET Group dan JTM bagi menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanaan program latihan berasaskan TVET.
Menurut Sri Ganes, MOA tersebut merangkumi pelaksanaan program latihan TVET yang melibatkan sumbangan peralatan dan modul latihan bernilai RM500,000.
Selain itu, ia juga mengandungi model perkongsian hasil (revenue sharing) antara SG TVET Group dan JTM, memastikan kelangsungan serta manfaat latihan TVET untuk jangka panjang. -KOSMO! ONLINE