LONDON – Crystal Palace mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Millwall 3-1 pada pusingan kelima Piala FA yang berlangsung di Selhurst Park malam kelmarin.
Bagaimanapun, kemaraan ke suku akhir perlu dibayar dengan harga cukup mahal apabila penyerang berbisa, Jean-Philippe Mateta mengalami kecederaan serius selepas dikasari penjaga gol lawan, Liam Roberts pada awal permainan.
Pengurus The Eagles, Oliver Glasner mengakui bimbang dengan tahap kecederaan dialami Mateta yang menyaksikan dia terpaksa dikejarkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan mendapatkan rawatan lanjut.
“Dia (Mateta) sudah berada di hospital kerana kecederaan pada telinganya agak parah tetapi saya harap ia tidak terlalu serius. Mungkin dia akan terlepas pertemuan menentang Ipswich (8 Mac) nanti.
“Saya harap dia sempat pulih dengan kadar segera kerana kami amat memerlukan khidmatnya pada aksi suku akhir Piala FA hujung Mac ini. Ada masa lebih kurang empat minggu untuk dia pulih,” katanya.
Pada perlawanan itu, Palace memastikan kemenangan ke atas musuh ketat mereka menerusi tiga gol hasil jaringan Daniel Munoz, Eddie Nketiah dan gol sendiri Japhet Tanganga manakala gol Millwall dijaringkan Wes Harding.
“Kecederaan dialami Mateta sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan tetapi saya lega kerana kami masih mampu mengawal perlawanan. Satu kemenangan yang cukup penting untuk membawa kami ke suku akhir,” ujar Glasner. – AGENSI