KUCHING – Sekumpulan mat rempit gagal melarikan diri apabila berjaya disekat dan ditahan polis kerana berkumpul dan melepak di tepi jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kumpulan terbabit ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching dari pukul 10.30 malam tadi hingga 4 pagi, hari ini.
“Sebanyak 168 buah motosikal dan 10 buah kereta telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 26 buah motosikal ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati keadaan motosikal telah diubah suai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata seramai 182 individu telah diperiksa dan sebanyak 396 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.-KOSMO! ONLINE