PETALING JAYA – Pelakon Zarina Zainuddin berusaha menyediakan juadah Jepun buat sebagai menu sahur anak usahawan dan pempengaruh Ridzuan Ridzokumura iaitu Sky Taizo Okumura yang pertama kali berpuasa tanpa ibu.
Zarina, 55, bersungguh-sungguh mencari menu negara matahari terbit tersebut buat sepupunya yang seakan-akan air tangan arwah ibunya, Allahyarham Akiko Okumura.
“Sky, saya tidak tahu untuk buat macam ibu awak tetapi saya berusaha mencari susyi semalam.
“Juadah itu seakan-akan hidangan yang disediakan ibu awak,” katanya dalam sebuah siaran langsung.
Sesi perkongsian Zarina pagi tadi mengundang sebak orang ramai apabila melihat remaja berusia 13 tahun itu bersahur tanpa menikmati hidangan ibunya seperti kebiasaan.
“Sedihnya tengok Sky, macam mana dia nak hadapi hari yang akan datang. Rindu yang menyakitkan, Semoga semua baik-baik dan diberi kekuatan luar biasa,” tutur netizen.
“Tak boleh berhenti air mata tengok Sky. Mak cik doakan semoga Allah bagi kebahagiaan kepada dia dan Allah rawat hati awak sayang,” kata pengikut.
“Sebak rasa, mesti Sky kekok. Kalau tak bersahur ibunya yang akan hidangkan makanan meriah,” jelas peminat.
Sementara itu, Ridzuan memaklumkan dia dan anaknya masih belum pulang ke rumah mereka dan bersahur di rumah Zarina yang merupakan anak saudaranya.
Malah, dia juga mengakui emosi anaknya masih belum stabil selepas tiga hari pemergian Akiko apabila kerap menangis terutama ketika diziarahi insan yang rapat dengan keluarga mereka.
Dalam hantaran Instagram miliknya, Ridzuan memohon doa orang ramai agar dia dan putera tunggalnya diberi kekuatan untuk menghadapi ujian.
“Ya Allah, berikan aku dan anak aku kekuatan,” ujarnya.
Jumaat lalu, Ridzuan memaklumkan isterinya meninggal dunia tanpa menjelaskan punca kematian.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 di Subang Jaya, Selangor, semalam.
Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga merupakan seorang wanita asal Jepun pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun. – KOSMO! ONLINE