JOHOR BAHRU – Keputusan seorang pemuda berbangsa India untuk memeluk Islam semalam iaitu sehari sebelum Ramadan disambut dengan penuh kesyukuran apabila dia menerima hidayah selepas sekian lama mendalami ajaran agama itu.
Muhammad Khalid Alwalid Abdullah, 22, yang sebelum ini menganut agama hindu melafazkan syahadah di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dengan bimbingan Ustaz Syed Musa Syed Abu Bakar.
Nama Islamnya diberikan oleh abang angkatnya, Ruzaimi, yang menjadi antara individu terdekat menyokong perjalanannya mengenali Islam.
“Keputusan saya memeluk Agama Islam dibuat dengan hati yang tenang, lebih-lebih lagi apabila ibu saya merestui keputusan yang saya buat.
“Alhamdulillah, ibu tidak membantah bersama lima adik beradik saya malah memberikan persetujuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid An Nur Taman Cendana Masai di sini.
Menurut anak kelima dari enam beradik itu, ramadan kali ini membawa makna besar buatnya kerana pertama kali dapat menunaikan solat tarawih secara berjemaah selang sehari selepas memeluk Islam.-KOSMO! ONLINE