PETALING JAYA – Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama menyucikan hati dari kebencian dan membersihkan akal agar terbentuk insan yang lebih adil, lebih kuat ihsannya, lebih dekat kepada Tuhan serta sesama insan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, falsafah tertinggi Ramadan menuntut setiap jiwa kaum Muslimin untuk melihat melampaui zahir serta menyelami ruh dan batin.
“Puasa tidak sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi apa yang utama adalah menunduk keangkuhan, menyanggah kezaliman dan penindasan serta meredam ketamakan.
“Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala,”tulisnya di laman Facebook.
Anwar berkata, Ramadan juga madrasah tarbiah ruhiyah di mana setiap insan dididik, diuji dan dimurnikan selain menjadi tonggak penting dalam membina serta membentuk kekuatan dalaman umat.
“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal.
“Perjalanan kerohanian dalam Ramadan ini antara lain sebagai memaknai erti iman, taqwa dan pengharapan,”ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar diberikan kekuatan amal dan keyakinan taqwa dalam menghayati ibadah di bulan Ramadan al-Mubarak kali ini.
“Jangan lupa untuk jauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunanNya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan,”katanya.-KOSMO! ONLINE