SARIKEI – Seorang lelaki warga emas hanya minum air sungai dan makan gula-gula yang dibawanya untuk bertahan hidup dalam sepanjang tempoh seminggu sesat di hutan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa, 69, dari Rh. Luang Empaong Roban di sini ditemui oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 9 pagi hari ini.
“Mangsa dijumpai pada jarak 300 meter dari Rh. Luang dalam keadaan lemah serta mengalami luka di bahagian kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 8 pagi, Ahad lalu dengan berjalan kaki ke pasar Roban, namun dia yang mengalami penyakit darah tinggi dan lemah jantung didapati tidak pulang ke rumah. – KOSMO! ONLINE