fbpx

MWC 2025: Malaysia komited jadi hab inovasi strategik di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAVILION Malaysia akan menjadi pusat inovasi mempamerkan teknologi termaju, penyelesaian berasaskan AI dan infrastruktur pintar terkini.

PETALING JAYA – Penyertaan Malaysia pada Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol bermula Isnin ini bukan sekadar sebagai peserta, tetapi ingin menjadikan negara ini sebagai hab inovasi strategik di rantau ASEAN.

Dengan membawa tema ‘Malaysia, Pintu Masuk kepada Inovasi ASEAN,’ Pavilion Malaysia akan menjadi pusat inovasi, mempamerkan teknologi termaju, penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur pintar terkini.

Pavilion itu juga akan membina perkongsian bermakna, memacu kolaborasi berimpak tinggi, dan mencipta peluang mampan yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi global.
Delegasi Malaysia yang akan menyertai MWC termasuk Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, wakil-wakil kerajaan, dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB).

Turut menyertai delegasi ke Barcelona adalah syarikat gergasi te­lekomunikasi tempatan seperti Ce­lcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, Yes, Edotco dan Measat Global Berhad (MEASAT).

Bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi ASEAN, MCMC telah menggariskan tiga fokus utama.

Fokus pertama ialah memperkukuhkan infrastruktur dan keterhubungan. Menerusi fokus ini, MCMC akan membangunkan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) bagi meningkatkan kolaborasi antara industri dengan kerajaan negeri.

Pembangunan MOCN bukan sahaja menjimatkan kos syarikat telekomunikasi tempatan dengan berkongsi biaya pembangunan, penyelenggaraan dan naik taraf menara, bahkan mengurangkan perbelanjaan modal serta operasi.

Selain itu, perkongsian MOCN membawa kepada rangkaian lebih kukuh dan terjamin selain mening­katkan kualiti panggilan, kelajuan data serta meminimumkan gangguan sambungan.

Sebagai bukti, melalui Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 9.03 juta premis telah disambungkan dengan gentian optik, melepasi sasaran 9 juta premis pada 2025.

Kelajuan jalur lebar mudah alih pula mencapai purata median 105.36 megabit sesaat (Mbps), melebihi sasaran 100Mbps.

mwc 2025 adalah perhimpunan paling berprestij dan berpengaruh dalam sektor telekomunikasi dan teknologi global.

Sementara liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 98.66 peratus pada suku keempat 2024, menuju ke liputan penuh tahun 2025.

Pencapaian berkenaan menunjukkan komitmen Malaysia dalam membina ekosistem yang kukuh, inklusif, dan mampan untuk menyokong inovasi dan kemajuan industri.

Sempena MWC 2025, MCMC turut memperkenalkan MCMC Nexus, iaitu sebuah inovasi yang dijadikan alat pemantau prestasi rangkaian menggunakan AI dan data pe­nyumberan awam bagi memastikan pengalaman digital lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu, fokus kedua yang dibawa Malaysia ke MWC adalah transformasi sektor utama melalui 5G dan AI.

Melalui fokus ini, tiga tonggak diketengahkan negara iaitu keterhubungan, perkhidmatan untuk rakyat, dan perkhidmatan untuk industri yang dicapai oleh syarikat tempatan.

Ia merangkumi lima asas pen­ting, termasuk Infrastruktur yang digalas oleh MCMC, Edotco dan MEASAT.

Bagi Penjagaan Kesihatan, ia dipelopori CelcomDigi dengan menampilkan diagnostik perubatan AI, Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) untuk latihan perubatan.

Untuk asas Pendidikan pula, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile memanfaatkan teknologi 5G untuk pembelajaran imersif melalui AR dan VR.

Manakala, Industri Minyak dan Gas menggunakan pendekatan teknologi 5G – AI bagi meningkatkan pemantauan masa nyata serta penyelenggaraan ramalan.

Sementara itu, segmen Penyiaran dan Bandar Pintar dibawakan oleh U Mobile dan DNB, MCMC, MDEC serta Maxis yang menumpukan kepada penyiaran tanpa wayar serta penyelesaian Internet Kebendaan (IoT).

Fokus terakhir Malaysia pada MWC 2025 adalah memacu ekonomi digital dan inovasi ASEAN, di mana MDEC akan menyokong dasar Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti negara sebanyak 30 peratus menje­lang 2030.

MEASAT dipertanggungjawabkan dengan memfokuskan kepada keterhubungan luar bandar, memastikan akses lebih luas kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Pada masa sama, Edotco akan membangunkan infrastruktur digital mampan, termasuk pembinaan menara hijau untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan.

MWC 2025 yang berlangsung di Barcelona bermula 3 hingga 6 Mac adalah salah satu perhimpunan yang paling berprestij dan berpengaruh dalam sektor telekomunikasi dan teknologi global.

Bertemakan ‘Bersatu, Berhubung dan Mencipta’, kongres ini dikelolakan setiap tahun oleh Persatuan Sistem Global Bagi Komunikasi Mudah Alih (GSMA).

Acara ini berfungsi sebagai platform profesional untuk pemimpin industri, inovator dan pembuat dasar untuk memperkenalkan kemajuan teknologi mudah alih, keterhubungan serta transformasi digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI