PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas kritikan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang semberono mempersoalkan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia ketika ini.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu proses dan sistem ranking bola sepak yang dikendalikan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) difahami sekali gus tidak sewenang-wenangnya melakukan kritikan.
“Nak tegur pasal isu kelab atau gaji tiada masalah tetapi nak tegur pasal ranking (Harimau Malaya) kena faham proses dan sistem ranking dahulu.
“Nak majukan bola sepak dan skuad kebangsaan mudah, hanya fokus dengan pasukan anda. Jika kelab, tahap liga dan infrastruktur bola sepak membangun, maka makin tinggi ranking skuad kebangsaan.
“Sekarang duduk diam-diam dan kalau tak faham boleh datang sini,” kata TMJ menerusi muat naik status di Instagram peribadinya semalam.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail mahu pihak tersebut memajukan pasukannya sendiri sebelum menyentuh tentang skuad kebangsaan.
“Orang yang ada jawatan dan baru sahaja jadi pemilik ini semua pandai bercakap. Namun, seorang pun tidak beri apa-apa sumbangan kepada bola sepak negara atau faham industri bola sepak.
“Semua cakap macam orang sudah banyak pencapaian dan kejayaan. Mula bercakap apabila anda ada beri sumbangan atau ada pencapaian dalam dunia bola sepak,” katanya.
Bagaimanapun, Tunku Ismail tidak menyatakan mana-mana pihak atau kepada siapa kenyataan tersebut ditujukan.
Namun, baru-baru ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang terkenal dengan panggilan Zamsaham tampil dengan kenyataan terkejut dengan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia.