SUNGAI BULOH – Purata simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 31 Disember 2024 berjumlah RM73,680, dengan jumlah simpanan keseluruhan RM1.195 trilion.
Berdasarkan kaum, Cina terus mencatatkan purata simpanan tertinggi berjumlah RM151,988, diikuti India (RM72,582) dan Melayu (RM43,843).
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya memerhatikan penambahbaikan dari segi purata dan median simpanan dalam kalangan ahli aktif KWSP (mereka yang membuat caruman sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan lepas) yang kini berjumlah 8.8 juta.
“Simpanan purata setakat tahun 2024 (bagi ahli aktif) berjumlah RM110,000, iaitu kenaikan sebanyak 7.8 peratus berbanding 2023 manakala median simpanan ialah RM31,000, kenaikan sebanyak 10.7 peratus.
“Jumlah ahli yang membuat caruman sukarela turut melonjak kepada 1.2 juta, iaitu kenaikan 33 peratus daripada 902,000 tahun sebelumnya.
“Selain itu, hanya 30 peratus (empat juta) ahli KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, manakala 70 peratus (sembilan juta) selebihnya tidak berbuat demikian,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, hari ini.
Berhubung caruman oleh warga asing, Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya mengunjurkan caruman pekerja asing akan menyumbang tidak lebih daripada RM5 bilion pada tahun pertama pelaksanaannya.
Jelasnya, ini berdasarkan sumbangan masing-masing sebanyak dua peratus daripada majikan dan pekerja asing seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Ketika ini pekerja asing boleh mencarum di KWSP, namun ia tidak diwajibkan.
“Akta baharu untuk mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja asing akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE