PETALING JAYA – Perdana Menteri menyifatkan prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Madani yang mesra pertumbuhan dan pelabur.
Malah kataya, ia turut disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani sekali gus memanfaatkan rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,”katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Terdahulu beliau berkongsi bahawa dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini adalah agihan tertinggi dalam sejarah.
“Alhamdulillah, KWSP telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,”katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 sebanyak 6.3 peratus untuk Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dan jumlah itu berbanding tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, jumlah agihan bagi Simpanan Shariah melibatkan RM 10.19 bilion, dan RM63.05 billion bagi Simpanan Konvensional.-KOSMO! ONLINE