MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memberi sokongan penuh kepada ketua pasukannya, Bruno Fernndes yang berdepan kritikan hebat oleh legenda pasukan itu, Roy Keane.
Dalam satu podcast sebelum ini, Keane menganggap Fernandes hanya memiliki bakat dan ia tidak cukup untuk menjadikannya kapten sebuah pasukan sebesar United, malah berpendapat pemain itu mendapat pujian yang keterlaluan.
Bagaimanapun, Amorim segera tampil dan mempertahankan pemain tengahnya itu apabila menganggap Fernandes adalah tonggak penting ketika United berdepan isu prestasi yang teruk ketika ini.
“Saya ada pandangan berbeza. Fernandes adalah sangat istimewa pada saya, dia mampu bermain dengan baik biarpun ketika pasukan dalam kesukaran serta sentiasa mahu bertanggungjawab.
“Keane mungkin memiliki standard yang tinggi berdasarkan reputasi pasukan di zamannya. Bagi saya tidak ada masalah untuk mempunyai pandangan dan saya rasa pandangan saya terhadap Fernandes lebih penting berbanding padangan Keane kepadanya,” kata Amorim.
Dalam pada itu, menjelang aksi menentang Fulham pada pusingan kelima Piala FA di Old Trafford tengah malam ini, Amorim mengakui begitu teruja melihat aksi dipamerkan pemain mudanya, Chido Obi Martin.
“Chido sangat bijak setiap kali kami kehilangan bola dalam kotak penalti lawan. Dia mungkin memerlukan satu hantaran jauh untuk menjadikan perlawanan berbeza. Saya fikir pasukan memerlukan khidmatnya pada perlawanan menentang Fulham,” jelasnya. – AGENSI