PETALING JAYA – Polis menahan seramai 11 lelaki bagi membantu siasatan kes rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di Lalaport, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 12.45 tengah malam melibatkan penyokong perlawanan tinju pempengaruh media sosial YouTube dan TikTok.
“Kesemua mereka yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 17 hingga 28 tahun. Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan telah direman selama dua hari bermula Rabu lepas, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pihak polis akan merujuk kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk keputusan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE