SEREMBAN – Seorang pekerja kargo penerbangan pos maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri berhampiran lampu isyarat sebuah hospital swasta dekat Nilai di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian pada jam lebih kurang 6.55 pagi itu berlaku pada jarak lebih kurang 400 meter kemalangan maut yang turut menyebabkan kematian seorang juruteknik wanita dalam nahas membabitkan dua buah lori dan dua buah kereta pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, nahas tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah lori tanpa muatan jenis Hohan.
“Mangsa lelaki yang berusia 26 tahun memandu kereta jenis Perodua Alza dan merupakan pekerja kargo penerbangan pos meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lori jenis Hohan yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 45 tahun dalam perjalanan dari arah Sepang menghala ke Nilai.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Alza yang sedang bergerak di lorong kanan telah hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu dan batu pembahagi jalan di tengah jalan. Kemudian kereta itu berpusing dan masuk ke lorong kiri lalu dilanggar oleh lori yang sedang bergerak terus di lorong kiri.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor B. Sharveen Raj di talian 011- 26176424. – KOSMO! ONLINE