Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
ENAM pelumba tempatan Terengganu Cycling Team (TSG) akhirnya boleh mencongak strategi perlumbaan selepas pihak berkuasa memberi kebenaran ke Turki pada bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, berita gembira itu telah disampaikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu lalu.
Perkhabaran tersebut menurut beliau turut mengesahkan penyertaan TSG dalam enam siri Grand Prix (GP) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di negara berkenaan.
“Jika mengikut rancangan asal, barisan pelumba serta kru TSG akan bertolak pada 1 Februari ini, namun ia masih bergantung kepada proses dokumentasi dan logistik.
“Kita akan mengambil bahagian dalam GP Alanya (6 Februari), GP Gazipasa (7 Februari), GP Velo Manavgat (20 Februari) dan GP Velo Alanya (21
Februari),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Che Ku Mohd. Izmuddin berkata, dua lagi kejohanan iaitu GP Mediterranean dan GP Gundogmus pula berlangsung pada 6 dan 7 Mac ini.
Beliau berkata, kesemua perlumbaan yang bakal disertai berkenaan berstatus 1.2 UCI.
“Begitupun hasrat TSG untuk berentap dalam perlumbaan bertaraf 2.1 tidak kesampaian ekoran penundaan Jelajah Rwanda dan Jelajah Antalya.
“Apa pun, tempoh lebih sebulan di Turki akan dimanfaatkan TSG untuk membuka tahun ini dengan penuh keyakinan selepas 2020 berlalu dengan penuh kesuraman,” katanya.
Sehubungan itu, Che Ku Mohd. Izmuddin berharap pelumba tempatan dan import dapat mempamerkan kayuhan bertenaga dan menduduki kedudukan podium sekali gus membantu ranking TSG.
Musim ini TSG diperkuatkan enam pelumba tempatan diketuai Zamri dan Harrif Salleh, Nur Aiman Mohd. Zariff, Afiq Huznie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek dan Mohd. Shahrul Mat Amin.
Sementara itu jaguh Russia, Artem Ovechkin, Goh Choon Huat (Singapura), Metkel Eyob (Eritrea), Carlos Quintero (Colombia), Youcef Reguigui (Algeria) dan Robin Jurado Lopez dari Panama mengisi kuota pelumba import.