PUTRAJAYA – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang guru lelaki menjalin ‘hubungan istimewa’ dengan seorang murid perempuan berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya telah menerima laporan polis mengenai perkara dakwaan berkenaan oleh bapa kanak-kanak berkenaan pada Rabu lalu.
Katanya, menurut laporan itu, guru lelaki tersebut mengajar di sebuah sekolah di sini.
“Bapa kanak-kanak itu telah tampil membuat laporan apabila mendapat tahu anak sering dihubungi guru berusia 30-an itu melalui aplikasi TikTok, love8 dan WhatsApp.
“Bapa kanak-kanak itu juga mendakwa kandungan yang dilihat di aplikasi itu mencurigakan dan seperti tidak menampakkan hubungan antara seorang anak murid dan guru,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norhizam berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). – KOSMO! ONLINE