TAPING – Lapan nama di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk menjadi pilihan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, kini hanya tinggal enam pilihan memandangkan dua daripada barisan kepimpinan tersebut telah memberitahunya untuk menarik diri.
Katanya, lapan mereka itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.
“Lapan nama kita akan hantar. Saya beritahu lapan nama ini hendaklah dipersetujui. Kita hantar untuk dipilih oleh Presiden parti (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).
“Tetapi jika daripada lapan itu ada kalangan mereka yang berhasrat untuk menarik diri. Boleh WhatsApp kepada saya. Setakat ini sudah dua orang WhatsApp pada saya (menarik diri). Bermakna kini tinggal enam nama yang dipertimbangkan. Itu pun bergantung jika kemungkinan ada lagi yang WhatsApp kepada saya,” katanya selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. di Kamunting, dekat sini hari ini.
Dalam pada itu Saarani berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Pakatan Harapan (PH) pada minggu depan memandangkan calon yang dipertaruhkan merupakan wakil Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama BN dan PH. – KOSMO! ONLINE