SUNGAI PETANI – Kakitangan dan pesakit di sebuah hospital di sini gempar apabila seorang lelaki didapati berada di bangunan tingkat lapan bangunan hospital tersebut pada pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, lelaki tempatan berusia 57 tahun terbabit dilihat berdiri di atas bumbung dan dipercayai mahu terjun.
Berdasarkan satu video berdurasi 23 saat yang tular, lelaki berkenaan didapati berjalan di atas bumbung dan beberapa individu termasuk kakitangan hospital cuba memujuknya, namun gagal sebelum menghubungi pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 9.48 pagi semalam sebelum enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
“Sebaik anggota tiba, kita mendapati seorang lelaki yang merupakan pesakit di hospital itu berada di atas bumbung dan mengancam untuk terjun.
“Anggota kita yang ditemani pegawai polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian memujuk lelaki terbabit dan selepas 10 minit berbuat demikian, dia akhirnya berjaya ditenangkan dan dibawa turun,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan individu itu baru mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dan dia dipercayai mengalami tekanan ekoran tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menerima upah membersihkan kawasan premis perniagaan di Taman Ria Jaya, di sini. – KOSMO! ONLINE