fbpx

‘Siapa buat anak anjing begitu di Rawang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan seekor anak anjing dibunuh oleh seorang individu.

PETALING JAYA – Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mengecam sekeras-kerasnya kejadian di Rawang berhubung seekor anak anjing didakwa dibunuh hanya kerana memasuki sebuah rumah untuk mencari makanan.

Presidennya, Kalaivanan Ravichandran berkata, insiden itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat khususnya pencinta haiwan yang menuntut keadilan segera ditegakkan.

“Pelaku mesti ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal bagi memastikan mesej jelas disampaikan bahawa kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun.

“Dengan bukti dan saksi yang telah dikenal pasti, pihak berkuasa tidak seharusnya berlengah dalam mengambil tindakan terhadap pelaku,” kata kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh dan memastikan keadilan ditegakkan dalam kes ini.

Semalam media melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung tular video memaparkan seorang lelaki membunuh anak anjing di kawasan Rawang Putra.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan polis berkenaan kejadian itu sudah dibuat semalam.

Katanya, siasatan masih berjalan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI