PETALING JAYA – Buat julung kalinya, AmLife International Sdn. Bhd. telah mengambil insiatif menganjurkan Pameran Kesihatan Tidur Awam secara eksklusif sempena Hari Tidur Sedunia (WSD).
Bertemakan ‘Menjadikan Tidur Satu Keutamaan’ pameran itu turut menjemput beberapa pakar daripada persatuan tidur seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, Taiwan serta Malaysia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AmLife International, Lew Mun Yee berkata, tahun ini merupakan tahun ke-10 berturut-turut AmLife menganjurkan WSD.
Jelasnya, pameran secara eksklusif itu bertujuan menggalakkan amalan tidur berkualiti demi kehidupan lebih sihat.

“Memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia mengalami gangguan tidur, kami berusaha memberikan pendidikan awam dan menyediakan penyelesaian klinikal kepada komuniti.
“Pameran ini merupakan satu mercu kejayaan kami untuk membantu rakyat Malaysia menikmati tidur di samping memulihkan kesihatan dan kesejahteraan.
“Kami juga menekankan bahawa tidur bukan sahaja satu bentuk rehat, tetapi menjadi asas kepada kesihatan yang baik,”katanya pada pameran yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre di sini hari ini.
Pada pameran berkenaan juga, AmLife turut berkongsi ujian klinikal terbaharu yang dijalankan oleh dua hospital terkemuka di Taiwan iaitu Hospital Universiti Perubatan China dan Hospital Besar Kuang Tien.
Menerusi kajian tersebut, peranti terapi tidur pintar AmLife berkesan untuk meningkatkan suhu teras badan pada individu yang mengalami hipotermia dan dapat memulihkan simptom tersebut dengan selamat dan berkesan.
Selain itu, kajian lain juga menunjukkan bahawa Terapi Elektrik Potensi dapat membantu meningkatkan kualiti tidur.
Terdahulu, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan mendapati bahawa dua daripada lima individu dewasa atau 38 peratus daripada penduduk tidak mendapat tidur yang secukupnya setiap hari.
Seramai sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami satu atau lebih jenis gangguan tidur yang menjejaskan tahap kesihatan dan kesejahteraan.

Mengulas lanjut, Mun Yee berkata, menerusi pameran itu juga, beberapa syarikat kesihatan telah mempamerkan teknologi, serta produk bagi mengatasi masalah tidur dalam kalangan rakyat di negara ini.
Selain itu katanya, mereka turut menyediakan khidmat perunding untuk memberi tunjuk ajar dan membantu rakyat Malaysia mencari penyelesaian khusus dan mengamalkan tabiat tidur yang lebih sihat.
Sementara itu, Profesor Klinikal, Persatuan Tidur Sedunia dari Amerika Syarikat, Dr. Eyad Almasri turut berkongsi maklumat tentang bahaya kekurangan tidur.
Menurutnya, masalah tersebut mempunyai hubungan dengan penyakit kardiovaskular, demensia dan kemurungan.
“Obstruktif Sleep Apnea (OSA) telah dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kardiovaskular, termasuk hipertensi, penyakit arteri koronari, strok, dan lain-lain,”katanya.-KOSMO! ONLINE