KULAI – Seorang pengedar dadah yang beroperasi secara solo ditahan polis bersama dadah seberat 8.2 kilogram (kg) bernilai RM1.374 juta menerusi dua serbuan di hotel bajet dan rumah sewa suspek, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu merupakan seorang penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes narkotik sejak berusia 15 tahun.
“Turut dirampas beberapa alat digunakan untuk tujuan memproses dan pembungkusan seperti batu lesung dan paket plastik,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini.
Tambah Seng Lee, suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak lebih sebulan lalu dengan menjual setiap peket yang dibungkus pada harga RM100.
“Setiap paket dadah dijual mengikut perisa berlainan seperti perisa coklat, strawberi dan kopi bergantung kepada kehendak pembeli,” ujarnya sambil memaklumkan jika kekal dalam pasaran dadah itu boleh digunakan sehingga 800 penagih.
Seng Lee turut memberitahu, suspek ditahan reman selama tujuh hari seminggu sehingga 2 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE