PETALING JAYA – Disifatkan sebagai kehilangan mengejut yang akan dirindui ramai, jenazah isteri usahawan dan pempengaruh Ridzuan Ridzokumura iaitu Allahyarham Akiko Okimura selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di Subang Jaya pagi tadi.
Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Darul Ehsan SS15, Subang Jaya sebelum disemadikan dengan dihadiri sekitar 200 orang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat bagi memberi penghormatan terakhir.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila anak tunggal Allahyarham iaitu Sky Taizo Okumura turut turun ke liang lahad bagi membantu mengebumikan jenazah ibunya.
Sky juga dilihat beberapa kali dipeluk dan ditenangkan bapanya sepanjang tempoh pengebumian jenazah arwah ibunya.
Selepas selamat disemadikan, Ridzuan turut meletakkan sejambak bunga ros merah di atas pusara Allahyarham.
Sementara itu, menerusi video TikTok milik usahawan Liana Rosli atau Kak KM, Ridzuan memberitahu Akiko pernah melahirkan hasrat untuk keluar membeli barangan dapur bagi persiapan menyambut Ramadan.
“Itulah, Akiko sepatutnya hari ini (semalam) nak beli barang-barang dapur, tapi ajalnya sudah tiba. Terima kasih semua,” kata Ridzuan.
Dalam ruangan komen, ramai netizen yang menitipkan ucapan takziah selain berasa sedih kerana bakal merindui momen Akiko memasak pelbagai jenis resisi termasuk makanan Jepun untuk keluarganya pada waktu sahur.
“Setiap tahun tunggu Akiko masak untuk berbuka dan sahur. Tahun ini tiada lagi.
“Macam mana keadaan Sky nak sambut Ramadan dan raya tanpa ibunya.
“Al-Fatihah untukmu Akiko. Semua orang pasti akan rindu nak tengok siaran langsung Ridzuan sebab nak tahu Akiko masak apa,” luah netizen.
Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga merupakan seorang wanita asal Jepun pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun. – KOSMO! ONLINE
@hanimfariza3 @Ridzokumura ♬ Bila Tiba – UNGU