MELAKA – Seorang pembantu kantin sebuah kilang maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah bas di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka Tengah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, mangsa, Najib Khan Hazam Khan, 47, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15R berwarna hijau, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner ACP Christopher Patit, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan itu.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai cuba mengelak kenderaan lain sebelum bergesel dengan bas yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Ayer Keroh ke Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.
“Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 3.30 petang dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE