RIYADH – Umat Islam di Arab Saudi dan kebanyakan negara Asia Barat lain mula berpuasa hari ini, namun bagi rakyat Iran dan Iraq yang majoriti mereka mengikuti ajaran Syiah, Ramadan akan bermula esok.
Bulan suci di mana ratusan juta umat Islam seluruh dunia mengerjakan ibadah puasa pada siang hari itu bermula dengan melihat anak bulan Ramadan.
Arab Saudi yang mempunyai dua masjid paling suci dan negara-negara Arab lain mengisytiharkan ibadah puasa bermula hari ini selepas anak bulan Ramadan kelihatan.
“Mahkamah Agung (Arab Saudi) memutuskan bahawa esok (hari ini) adalah hari pertama Ramadan,” demikian menurut agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA) di Riyadh
Rakyat Algeria, Mesir, Jordan, Libya, wilayah Palestin, Sudan dan Tunisia juga mula berpuasa hari ini.
Pejabat pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan ulama Syiah terkemuka Iraq, Ayatollah Ali al-Sistani bagaimanapun mengisytiharkan Ahad sebagai hari pertama Ramadan.
Hanya Maghribi yang terletak di pinggir dunia Arab di mana majoriti penduduknya beraliran sunni, Ramadan akan bermula esok, kata kementerian hal ehwal Islamnya.
Sementara itu, di Lebanon, mufti besarnya mengumumkan hari ini sebagai hari pertama Ramadan untuk penduduk beraliran Sunni, lapor media kerajaan.
Dalam pada itu, Indonesia turut berpuasa hari ini, manakala Singapura, Thailand dan Kemboja menjalani ibadah puasa mulai esok.
Puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu daripada lima rukun Islam yang mewajibkan penganutnya menahan diri daripada makan, minum, merokok dan melakukan hubungan seks pada waktu siang.
Umat Islam juga digalakkan untuk bersedekah kepada golongan miskin. – AFP/AGENSI