KLUANG – Kehadiran orang ramai mendapatkan keperluan untuk membuat persiapan kedatangan Ramadan di pasar awam di sini membuatkan peniaga tidak menang tangan dan banyak jualan habis dalam tempoh hanya dua jam dibuka.
Abdul Hamid Dahlan, 58, berkata, ramai peniaga tidak menjangka kehadiran luar jangka orang ramai ke pasar hari ini.
Katanya, susulan itu ada peniaga kehabisan barang jualan hanya dalam tempoh dua jam selepas pasar awam ini dibuka pada pukul 7 pagi.
“Mujur saya ada membuat persiapan awal kerana kebiasaannya pada hari Sabtu atau Ahad memang orang ramai datang ke sini, namun hari ini kehadiran pelanggan amat luar biasa.
“Alhamdulillah, ikan pun dijual dengan harga berpatutan dan ia membolehkan orang ramai membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Abdul Hamid, keadaan seperti ini jarang-jarang berlaku pada awal Ramadan dan kedatangan orang ramai seperti ini hanya ketika persiapan akhir kedatangan Syawal.
Sementara itu, seorang pelanggan, Rosli Rahmat, 45, berkata, hasratnya untuk mendapatkan ikan seperti pelalin atau kembong tidak kesampaian kerana sudah habis terjual ketika datang ke Pasar pukul 8.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE