fbpx

RHB Islamic serah zakat korporat RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adissadikin ketika menyerahkan zakat korporat kepada Azrin pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat dan Penyampaian Hadiah Kempen Semarak Zakat 2024 di Ibu Pejabat RHB, Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat korporat daripada RHB Islamic Bank berjumlah RM4 juta bagi tahun 2025.

Penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Azrin Abdul Manan.

Majlis penyerahan zakat korporat dan penyampaian Hadiah Kempen Semarak Zakat 2024 di Ibu Pejabat RHB, Kuala Lumpur.

Jumlah bayaran zakat perniagaan ini meningkat sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu.

Ia sekaligus membuktikan komitmen RHB Islamic dalam menyokong usaha memperkasakan institusi zakat dan secara tidak langsung membantu MAIWP menampung keperluan asnaf yang semakin bertambah di Wilayah Persekutuan.

Adissadikin berkata, melalui kerjasama erat antara institusi kewangan Islam dan badan zakat dapat mewujudkan impak sosial yang lebih besar, berkesan, dan lestari.

“Kami berharap zakat korporat ini dapat membantu meringankan beban golongan asnaf serta menyokong usaha PPZ-MAIWP dalam memperkasa kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

“Selain itu, kami percaya ia juga dapat menyumbang kepada kemapanan sosial melalui sistem agihan zakat yang lebih sistematik dan efektif.

“RHB Islamic komited untuk terus memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam, selaras dengan agenda Value-Based Intermediation (VBI),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada majlis sama, lebih daripada 100 kakitangan syarikat itu telah menjadi pembayar zakat baharu dan 80 orang menambah potongan zakat mereka menerusi Kempen Semarak Zakat 2024.

Kempen ini diadakan dengan tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan kakitangan RHB Islamic Bank melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Kolaborasi di antara PPZ-MAIWP dan RHB Islamic diperkukuhkan lagi pada tahun ini dengan Program Pakej Istimewa Pelanggan Mewah RHB 2025, yang merupakan kesinambungan kepada Kempen Pelanggan Mewah RHB tahun lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI