fbpx

PPZ-MAIWP tawar 1,000 Tudung Ruffle kepada pembayar zakat wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Mohammed Hassan (tiga dari kanan) ketika sesi bergambar pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan “Jiwa Memberi” di Bamboo Hills, Kuala Lumpur di sini hari ini. SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sempena Kempen Ramadan 2025, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menawarkan hadiah cenderahati eksklusif Tudung Ruffle.

Cenderahati tersebut akan diberikan kepada 1,000 pembayar wanita terawal yang membuat bayaran zakat harta serendah RM1,000 dalam satu transaksi di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ MAIWP, Mohammed Hassan berkata, setiap pembayar zakat atau wakaf juga akan menerima sampul raya istimewa hasil kolaborasi bersama Tudung Ruffle di semua saluran PPZ-MAIWP.

“Cenderahati tudung eksklusif Tudung Ruffle difahamkan coraknya direka khas dan tidak dijual di mana-mana.

“Cenderahati ini Istimewa kepada 1,000 pembayar zakat harta wanita terawal dengan bayaran minima RM1,000 hanya di kaunter-kaunter PPZ-MAIWP,”katanya ketika berucap semasa melancarkan Kempen Ramadan 2025 di sini hari ini.

Bertemakan ‘Jiwa Memberi’, kempen PPZ-MAIWP itu turut menjalinkan kerjasama dengan dua rakan strategik lain iaitu Bright Cow dan aplikasi Iman Pro.

Mohammed berkata, menerusi kolaborasi bersama Bright Cow, 10,000 pembayar terawal yang membuat bayaran zakat atau wakaf di kaunter PPZ-MAIWP akan menerima kit Ramadan istimewa iaitu susu kotak dan kurma.

Sementara itu, bagi kerjasama bersama aplikasi Iman Pro, pengguna boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna berpeluang untuk mendapat notifikasi peringatan berkaitan zakat secara automatik, selain info eksklusif mengenai wakaf dan zakat,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini juga PPZ-MAIWP bersama rakan strategik akan turun padang bagi menyantuni golongan asnaf di samping mengeratkan hubungan antara pembayar dan penerima zakat.

“Kita akan melakukan ziarah Ramadan bersama keluarga asnaf terpilih kolaborasi bersama rakan strategik (Tudung Ruflle dan Habib) di sekitar Kuala Lumpur.

“Turut akan diadakan ziarah Ramadan bersama pesakit kanser di Institut Kanser Negara (IKN) kolaborasi bersama pemegang wakalah Public Islamic Bank,”katanya.

Tambah Mohammed, sepanjang bulan mulia ini juga, PPZ-MAIWP juga turut menjalankan pelbagai program khas sepanjang Ramadan 2025 antaranya seperti Program Turun Padang.

Turut berlangsung, Program 1 Hari 1 Ilmu, drama pendek Ramadan selama lima episod pada setiap Rabu, Ramadan Rewards dan pelbagai lagi pengisian menarik.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI